Kerjaya Diego Maradona

Kelab

Maradona muncul buat julung kalinya sebagai profesional pada 20 Oktober 1976, 10 hari sebelum hari jadinya yang ke-16, bersama Argentinos Juniors.[3] Belaiu bersama pasukan itu dari tahun 1976 hingga 1981, sebelum dipindahkan ke kelab pujaan beliau, Boca Juniors, yang bernilai £1 juta. Maradona yang menyertai pasukan di pertengahan musim 1981, beraksi sepanjang musim 1982, lalu meraih pingat juara liga pertama beliau.

Sesudah Piala Dunia 1982 di bulan Jun, Maradona dipindahkan ke FC Barcelona di Sepanyol dalam pertukaran bernilai £5 juta yang memecah rekod dunia ketika itu.[3] Pada tahun 1983, di bawah latihan César Luis Menotti, Barcelona dan Maradona menjuarai Copa del Rey (pertandingan piala kebangsaan tahunan Sepanyol), dengan menewaskan Real Madrid. Bagaimanapun, Maradona berasa tidak senang ketika di Barcelona.[8] Dimulakan dengan penyakit hepatitis, diikuti rebutan bola yang melukakan beliau oleh Andoni Goikoetxea dari pasukan Athletic Bilbao menggugat kerjaya beliau,[3] namun kekuatan dan ketabahan Maradona membolehkan beliau kembali ke padang selepas 14 minggu. Adalah dipercayai bahawa ketika bermain bersama Barcelona, Maradona mengenali kokaina yang lambat-laun ditagihkan beliau.[9]

Antarabangsa



Beliau beraksi dalam pasukan bola sepak kebangsaan Argentina buat julung kali pada usia 16 tahun, menentang Hungary. Pada usia 18 tahun, beliau bermain di Kejohanan Belia Dunia Bola Sepak untuk Argentina, dan menjadi bintang utama kejohanan dalam kemenangan 3—1 di peringkat akhir menentang Kesatuan Soviet.

Piala Dunia 1982

Maradona beraksi di kejohanan Piala Dunia di Sepanyol buat julung kalinya pada tahun 1982. Pada pusingan pertama, Argentina selaku juara bertahan, kalah di tangan Belgium. Meskipun sempat menumpaskan Hungary dan El Salvador agar layak ke pusingan kedua, mereka ditumpaskan oleh Brazil dan Itali yang menjadi juara. Maradona bermain di kelima-lima perlawanan tanpa diganti, menjaringkan dua gol menentang Hungary, tetapi diarahkan keluar padang 5 minit sebelum tamat perlawanan menentang Brazil kerana bermain secara kasar.

Piala Dunia 1986

Maradona menjadi kapten pasukan kebangsaan Argentina yang menjuarai Piala Dunia FIFA 1986, dengan menumpaskan Jerman Barat di Mexico. Sepanjang kejohanan ini, Maradona memperlihatkan dominasi beliau serta merupakan pemain paling dinamik di kejohanan. Beliau beraksi setiap minit dalam setiap perlawanan Argentina, menjaringkan 5 gol dan melakukan 5 bantuan. Namun beigtu, dua gol yang dilakukannya di pusingan suku akhir menentang England itulah yang mengabadikan beliau sebagai legenda.

Main semula rakaman menunjukkan gol pertama dijaringkan dengan memukul bola dengan tangan. Maradona menafikannya secara malu-malu, menyifatkan jaringan itu sebagai "sedikit kepala Maradona dan sedikit tangan Tuhan." Jaringan itu digelar "Tangan Tuhan," (Bahasa Sepanyol: la mano de Dios). Akhirnya, pada 22 Ogos 2005, Maradona mengakui di rancangan TV beliau bahawa beliau sengaja memukul bola dengan tangan, lalu menyediari jaringan itu tidak sah. Katanya, seingat beliau sejurus selepas jaringan itu:

Saya tengah menunggu rakan sepasukan saya memeluk saya, tetapi tiada yang datang … saya cakap, 'Mari peluk aku, kalau tidak pengadil takkan benarkannya.'[10]

Sebaliknya pula, jaringan kedua Maradona merupakan penyerlahan kemahiran teknik dan menggelecek bola Maradona. Beliau mengambil bola di kawasan pasukan diri lalu berpusing-pusing dan meluru lebih separuh padang sambil menyentuh bola 11 kali, memintas lima pemain England: (Glenn Hoddle, Peter Reid, Kenny Sansom, Terry Butcher, dan Terry Fenwick) serta penjaga gawang Peter Shilton. Gol inilah yang bergelar Goal of the Century di undian Internet 2000 oleh FIFA. Pada tahun 2002, kedua-dua gol ini menduduki tempat ke-6 dalam 100 Greatest Sporting Moments oleh saluran TV Channel 4 UK.

Maradona menyusuli kedua-dua gol tersebut dengan dua lagi jaringan di peringkat separuh akhir menentang Belgium. Di pusingan akhir, pasukan lawan dari Jerman Barat cuba menghalang beliau dengan berjaga ganda, namun begitu beliau berjaya mencari ruang membolosi Jorge Burruchaga untuk gol kemenangan. Argentina menewaskan Jerman Barat 3-2 dan Maradona menjulang Piala Dunia setelah mendominasi kejohanan dengan penuh gaya.

Piala Dunia 1990

Maradona memimpin Argentina sekali lagi di kejohanan Piala Dunia Itali. Kecederaan buku lima menjejaskan prestasi keseluruhan beliau, oleh itu beliau agak kurang mendominasi berbanding empat tahun sebelumnya. Argentina nyaris disingkirkan di pusingan pertama, cuma layak di kedudukan ketiga dari kumpulan mereka.

Di pusingan 16 terakhir menentang Brazil, Claudio Caniggia menjaringkan gol tunggal setelah dibantu Maradona.

Di pusingan suku akhir, Argentina menentang Yugoslavia. Perlawanan berakhir tanpa jaringan selepas 120 minit, dan Argentina layak melalui sepakan penalti, meskipun Maradona tersasar dalam cubaannya. Pusingan separuh akhir menentang tuan rumah Itali juga selesai melalui sepakan penalti setelah seri 1—1; kali ini, Maradona berjaya menjaringkan bolanya. Di pusingan akhir, Argentina kalah 1—0 di tangan Jerman Barat.

Piala Dunia 1994

Di kejohanan Piala Dunia FIFA 1994 di Amerika Syarikat, Maradona bermain di dua perlawanan, sempat menjaringkan sekali gol menentang Greece, sebelum dihantar pulang selepas didapati menyalah guna efedrina dalam ujian dadah. Dalam autobiografinya, Maradona mendakwa hasil ujian itu disebabkan pelatih peribadunya memberikan minuman tenaga Rip Fuel kepada beliau. Dakwaan beliau ialah versi A.S. minuman ini, berbeza daripada versi Argentina, mengandungi kimia terbabit, dan setelah kehabisan minuman versi Argentina itu, pelatihnya tidak sengaja membeli formula A.S. Pihak FIFA terus membuang Maradona dari kejohanan manakala Argentina disingkirkan di pusingan kedua. Maradona juga mendakwa dalam kenyataan berasingan bahawa beliau mengadakan persetujuan dengan FIFA, yang mana pertubuhan berkenaan memungkiri janji membenarkan beliau menggunakan dadah itu untuk tujuan mengurangkan berat badan sebelum pertandingan agar dapat beraksi[11]. Menurut Maradona, ini adalah agar Piala Dunia tidak kehilangan prestijnya gara-gara ketiadaan beliau. Dakwaan ini tidak pernah dibuktikan, dan ramai peminat beliau berpendapat kenyataan beliau itu ("mereka memotong kaki saya") berkaitan dengan kemarahan beliau atas penggantungan beliau.

Rujukan

WikiPedia: Diego Maradona http://www.espantalagata.com.ar/ http://www.homenajeal10.com.ar/ http://www.meduermo.com.ar/thumbnails.php?album=11... http://worldsoccer.about.com/od/soccerhistory/p/di... http://euro2008-blog.blogspot.com/2008/05/diego-ma... http://www.ole.clarin.com/notas/2007/04/26/0140724... http://www.clarin.com/diario/2005/06/03/espectacul... http://www.clarin.com/diario/2005/06/19/sociedad/s... http://edition.cnn.com/2009/SPORT/football/10/14/f... http://sportsillustrated.cnn.com/2005/writers/mark...